DUA pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah menemui Mohd Hanafiah (tengah) di wakaf di tepi Sungai Melaka, hari ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
DUA pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah menemui Mohd Hanafiah (tengah) di wakaf di tepi Sungai Melaka, hari ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka akan menyediakan kediaman kepada Mohd Hanafiah Kamarudin yang hanya tidur dan menetap di wakaf di tepi Sungai Melaka, di sini, hampir seminggu lalu.

Mohd Hanafiah, 53, yang pada awalnya datang ke Melaka untuk mencari kerja di bandar raya terbabit, terperangkap akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga terpaksa menyambut Syawal sendirian di situ.

Pengarah JKM Melaka, Burhanudin Bachik berkata, agensi terbabit akan menempatkannya di rumah kebajikan selepas mendapati dia enggan pulang ke kampungnya walaupun pihaknya mahu menghantarnya pulang.

Beliau berkata, berikutan itu pihaknya akan membawa Mohd Hanafiah menjalani ujian saringan Covid-19, pagi esok dan jika negatif dia akan di tempatkan di salah sebuah rumah kebajikan di Melaka.

"Kami menyediakan kemudahan lengkap termasuk pakaian, keperluan harian serta makan dan minum membolehkan dia selesa menjalani kehidupan dan beribadat tambahan dia mengalami diabetes.

"Malah JKM akan mengadakan sesi kaunseling kepadanya serta ahli keluarganya dalam memberi bimbingan dan panduan kekeluargaan kepada mereka.

"Dua pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah menemuinya di tepi Sungai Melaka selain mengambil butiran diri serta menjelaskan bentuk bantuan JKM kepadanya hari ini," katanya.

Sementara itu, Hanafiah berkata, sebaik kisahnya disiarkan Harian Metro, dia didatangi banyak pihak yang mahu menghulur bantuan kepadanya.

Menurutnya, antara yang datang termasuk jirannya di kampung di Felda Bukit Jalor, Negeri Sembilan, hari ini yang mahu membawanya pulang selepas diminta ibu jiran terbabit.

"Namun amat menyedihkan selepas diberitahu rumah saya kini sudah disewakan kepada orang lain sehingga membantutkan hasrat saya untuk pulang. Kalau saya balik, nak tinggal di mana.

"Beberapa pihak lain termasuk bekas tentera, pemandu bas, Pertubuhan Pembangunan Tenaga Mahir Zon Selatan (PPTMZS) dan Pemuda Umno Tampin turut mahu menghantar saya pulang.

"Tapi jika saya balik sudah pasti tiada arah kerana rumah terbabit sudah disewakan salah seorang abang saya. Apapun saya tak salah sesiapa," katanya.

Sehubungan itu, katanya, lebih baik dia menetap di rumah kebajikan JKM buat sementara waktu sebelum membuat keputusan untuk pulang ke kampung tambahan tanah berkenaan atas namanya.

Katanya, sekurang-kurangnya dia memberi masa kepada penyewa untuk keluar walaupun duit sewa terbabit bukan diserahkan kepadanya.

"Krisis dalaman antara sebab saya membawa diri, namun tidak sanggup merempat di sini kerana walaupun pernah bekerja di Singapura, Thailand dan Indonesia sebelum ini, namun tidak tidur di wakaf seperti ini.

"Saya menyimpan hasrat menunaikan umrah serta membina hidup baharu selepas sebatang kara hidup di tepi sungai dengan jadual makan dan tidur tidak menentu," katanya.

Berita berkaitan

'Syahdu sambut raya di tepi Sungai Melaka'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 5:23 PM