Elfi Rahmi memberi minum kepada Nurhana Umaira Ahmad Faizal sambil diperhatikan ibu Nurhana, Aziah Samsudin di PPS Dewan JAPERUN Durian Tunggal, Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Elfi Rahmi memberi minum kepada Nurhana Umaira Ahmad Faizal sambil diperhatikan ibu Nurhana, Aziah Samsudin di PPS Dewan JAPERUN Durian Tunggal, Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Alor Gajah: "Saya dan anak lelaki terpaksa memecahkan besi jeriji tingkap dapur untuk menyelamatkan diri sebaik mendapati paras air banjir melepasi paras dada petang semalam.

"Alhamdulillah, kami sempat menyelamatkan diri dan membawa keluar tiga lagi anak berumur antara sembilan hingga 18 tahun keluar melalui tingkap," ujar ibu tunggal, Elfi Rahmi M Rizal, 42.

Menurutnya, dia bergegas cuba menyelamatkan ahli keluarganya sebaik air sungai berhampiran kediaman di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal di sini, melimpah masuk ke rumahnya.

"Tiada jalan lain untuk kami lari menyelamatkan diri selain keluar melalui tingkap dapur. Kami bertindak melompat keluar selepas besi jeriji itu berjaya ditanggalkan," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal, di sini, tadi.

Selain Elfi Rahmi dan anggota keluarganya, turut ditempatkan di PPS berkenaan adalah 16 keluarga mangsa banjir dari Kampung Bukit Balai di sini.

Sementara itu, Mohd Jefri Suhaimi Firdaus, 16, berkata, kampung berkenaan turut pernah dilanda banjir pada November tahun lalu.

"Setiap kali hujan lebat, kami terpaksa mengambil langkah memindahkan perabot dan peralatan elektrik ke tempat tinggi bagi mengelak ditenggelami banjir.

"Air banjir naik dengan cepat. Jika kami lewat mengambil tindakan, kami akan mengalami kerugian lebih teruk akibat perabot dan barangan elektrik tenggelam" katanya ketika mencuci kediamannya yang ditenggelami lumpur," katanya.

Dia mendakwa, sungai di belakang kediamannya semakin cetak menyebabkan lumpur serta kelodak memenuhi dasar sungai.

Sehubungan itu, dia meminta Jabatan Pengairan dan Saliran mengambil tindakan memperdalam dasar sungai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 5:04 PM