Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  memantau kenderaan yang keluar dan masuk dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di Taman Mahsuri  berikutan pelaksanaan  Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah bermula hari ini sehingga 31 Mei depan. FOTO BERNAMA
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memantau kenderaan yang keluar dan masuk dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di Taman Mahsuri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah bermula hari ini sehingga 31 Mei depan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Jitra: Kerajaan Kedah akan memberikan bantuan 1,000 bakul makanan untuk penduduk di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah di sini yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini hingga 31 Mei.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan Kedah Halimaton Shaadiah Saad berkata, terdapat 2,314 rumah di kawasan itu terdiri daripada lapan lokaliti termasuk Taman Mahsuri dan Kampung Lubuk Kawah.

"Kita menyediakan bantuan ini bagi meringankan beban penduduk yang terjejas bagi menghadapi PKPD, dan selepas ini kita pertimbang bantuan lain yang bersesuaian bagi penduduk-penduduk di sini," katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Halimaton Shaadiah berkata jika penduduk menghadapi sebarang masalah sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD, mereka boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kubang Pasu yang beroperasi 24 jam bermula hari ini hingga 31 Mei.

"PKOB ini akan diketuai oleh Pegawai Daerah Kubang Pasu dan Urus Setia PKOB adalah Angkatan Pertahanan Awam daerah bersama pejabat daerah," katanya.

Sementara itu, Azlina Mat Zuki, 46, penduduk Kampung Lubuk Kawah mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin dengan penduduk yang terjejas susulan PKPD.

"Saya rasa gembira dengan bantuan ini, ia tanda ada orang ingat kita yang tidak boleh keluar ke mana-mana disebabkan PKPD," katanya yang menyambut baik keputusan kerajaan melaksanakan PKPD di kawasan rumahnya untuk kebaikan semua.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 4:17 PM