Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebuah keluarga di Iskandar Puteri dikompaun RM4,000 selepas mengadakan majlis kenduri kahwin, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia sekali gus mengingkari prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuat kuasa.

Katanya, polis menerima aduan daripada orang awam kira-kira jam 8 malam 14 Mei lalu, yang melaporkan mengenai kenduri kahwin berkenaan.

"Sebaik saja polis tiba di lokasi berkenaan mendapati majlis kenduri berkenaan yang bermula jam 5.30 petang sudah selesai dan tetamu sudah bersurai.

"Namun laporan orang awam yang diterima itu turut menyertakan bukti bergambar mengenai majlis kenduri kahwin termasuk kehadiran tetamu, menyebabkan polis mengeluarkan kompaun RM4,000 kepada pemilik rumah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

AYOB Khan. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AYOB Khan. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Ayob Khan berkata, sebanyak 20 kompaun membabitkan nilai RM42,000 dikeluarkan polis bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri termasuk majlis perkahwinan berkenaan, sejak Khamis lalu sehingga semalam.

"Mengikut pecahan, sebanyak 14 kompaun dikeluarkan di daerah Batu Pahat bagi kesalahan aktiviti ziarah raya, empat kompaun di Kluang dan satu di daerah Johor Bahru Utara (JBU) turut membabitkan kesalahan yang sama.

"Nilai semua kompaun itu adalah sebanyak RM42,000, namun sama ada ia dikurangkan atau tidak, bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Pada masa sama, Ayob Khan meminta masyarakat supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

"Siapa ingkar, kita akan ambil tindakan. Nak nasihat, kita dah bagi nasihat dah. Jadi, saya seru semua masyarakat khususnya di Johor, supaya patuhi SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 3:08 PM