LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tujuh lagi individu ditahan, semalam, bagi siasatan berhubung rusuhan 'kerajaan gagal' di Parit Raja, Batu Pahat, yang dipercayai dilakukan pada malam Aidilfitri lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tujuh individu itu kini direman tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan.

"Polis tahan tujuh lagi individu bagi membantu siasatan insiden demonstrasi di Parit Raja itu selepas mereka dipercayai terbabit membuat dan menggantung banner selain membeli suar.

"Siapa dalang demonstrasi itu masih disiasat dengan teliti, sebelum akan diumumkan kemudian, tetapi semua yang baharu ditahan ini mempunyai peranan ketika himpunan pada malam itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Khamis lalu, klip video dan gambar himpunan membabitkan pembakaran suar dan kain rentang 'kerajaan gagal' di Parit Raja, Batu Pahat, tular di media sosial.

Seramai 20 suspek yang dipercayai penduduk tempatan berusia 16 hingga 28 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung himpunan itu.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 144, 269 dan 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.

Ayob Khan berkata, semua tujuh suspek yang ditahan semalam itu berusia antara 19 hingga 23 tahun.

Beliau berkata, tujuh daripada 20 individu yang ditahan sebelum ini disambung reman tiga hari selepas tempoh tahanan reman terhadap mereka tamat, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 3:02 PM