ELFI Rahmi memberi minum kepada Nurhana Umaira Ahmad Faizal sambil diperhatikan ibu Nurhana, Aziah Samsudin di PPS Dewan JAPERUN Durian Tunggal, Alor Gajah, hari ini. FOTO HASSAN OMAR
ELFI Rahmi memberi minum kepada Nurhana Umaira Ahmad Faizal sambil diperhatikan ibu Nurhana, Aziah Samsudin di PPS Dewan JAPERUN Durian Tunggal, Alor Gajah, hari ini. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Alor Gajah: "Saya dan anak lelaki memecahkan besi jeriji tingkap dapur untuk menyelamatkan diri daripada air yang sudah naik hingga paras 1.5 meter di hadapan rumah.

"Alhamdulillah, kami sempat menyelamatkan diri dan membawa keluar tiga lagi anak berumur antara sembilan hingga 18 tahun keluar melalui tingkap," kata Elfi Rahmi M Rizal, 42.

Ibu tunggal itu terpaksa berbuat demikian bagi menyelamatkan anggota keluarganya apabila air sungai berhampiran kediamannya di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal, di sini, mulai melimpah, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, wanita terbabit terkejut apabila mendapati air sudah naik setinggi itu sebaik sahaja membuka pintu hadapan kediamannya.

"Air di belakang rumah sudah naik dan berbahaya jika kami keluar melalui pintu dapur dan tiada jalan lain untuk menyelamatkan diri, selain keluar melalui tingkap dapur.

"Di bahagian luar tingkap itu saya lihat air masih belum tinggi, jadi kami melompat keluar selepas besi jeriji berjaya kami tanggalkan," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Selain Elfi Rahmi dan anggota keluarganya, 16 lagi keluar dari Kampung Bukit Balai ditempatkan di PPS berkenaan.

Bagaimanapun, mereka dijangka pulang ke kediaman masing-masing petang ini berikutan air mulai surut pagi ini.

Sementara itu, Mohd Jefri Suhaimi Firdaus, 16, berkata banjir kali ini adalah kali pertama tahun ini selepas kediamannya di kampung berkenaan dilanda banjir pada November tahun lalu.

"Setiap kali hujan lebat, kami terpaksa memindahkan perabot dan peralatan elektrik ke tempat tinggi bagi mengelak ditenggelami banjir.

"Air naik dengan cepat dan jika kami lewat bertindak, kami akan mengalami kerugian lebih teruk akibat perabot dan barangan elektrik tenggelam" katanya ketika mencuci kediamannya daripada kesan lumpur.

Dia mendakwa, sungai di belakang kediamannya tidak pernah diperdalam dan menyebabkan lumpur serta kelodak semakin memenuhi dasar sungai.

Sehubungan itu, dia meminta Jabatan Pengairan dan Saliran mengambil tindakan memperdalam sungai berkenaan bagi membantu aliran lebih baik, sekali gus mengelak banjir pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 2:23 PM