GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Virus menular apabila manusia bergerak dan selagi ada individu dijangkiti selagi itu penularan akan berlaku," kata Pakar Virologi Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar.

Beliau berkata, langkah perlu diambil adalah sentiasa kekal berada di rumah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, memandangkan sukar memastikan rakyat mematuhi SOP maka pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh adalah jalan terbaik mengekang penularan Covid-19.

"Sesiapa saja boleh membawa virus dan dijangkiti termasuk mereka yang bekerja di sektor ekonomi serta penerima vaksin.

"Ini kerana ada penerima vaksin yang merasakan diri mereka sudah kebal dan tidak mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka sebab itulah ada penerima vaksin juga dijangkiti Covid-19.

"Vaksin bukan melindungi daripada jangkitan tetapi membantu mengurangkan kadar rawatan dan kematian," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Dr Sazaly berkata, sekiranya PKP secara menyeluruh tidak dilaksanakan maka keadaan akan bertambah teruk.

Tambah beliau, lebih membimbangkan ketika ini kadar kematian akibat Covid-19 yang meningkat mendadak.

Katanya, kes kematian wajar diberi perhatian serius dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mendedahkan kematian pesakit sebagai satu cara menyedarkan masyarakat.

"Jika dibuat perbandingan kes positif dan kematian dalam waktu singkat ini, kadar kematian jauh lebih tinggi.

"Apa yang menakutkan apabila pesakit meninggal dunia akibat Covid-19 adalah di kalangan orang muda seawal usia 20-an," katanya.

Justeru, beliau berkata, KKM perlu memainkan peranan lebih efektif melalui nasihat dan langkah boleh diambil pesakit positif Covid-19 yang dikuarantin di rumah bagi menjalani rawatan dan mengurangkan kadar kematian.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 2:19 PM