AMUNA menemani anak sulungnya ketika melaksanakan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika berada di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir. FOTO Yun Mikail
AMUNA menemani anak sulungnya ketika melaksanakan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika berada di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir. FOTO Yun Mikail
Yun Mikail


Beaufort: "Ini kali pertama kami menyambut Aidilfitri di pusat pemindahan sementara (PPS) disebabkan banjir.

"Kasihan anak hanya sempat beraya beberapa hari sahaja di rumah sebelum kami dipindahkan ke sini," kata mangsa banjir, Azizah Mat Miasin, 31, ketika ditemui di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir, di sini, hari ini.

Menurutnya, anaknya kerap bertanya bila mahu pergi beraya lagi namun dia menjelaskan mereka perlu berada di PPS untuk beberapa hari disebabkan rumah sudah ditenggelami banjir.

"Walaupun mereka faham namun saya sebagai ibu, pastinya kasihan melihat kegembiraan anak menyambut hari raya sedikit terhalang," katanya.

Ibu lapan anak berusia antara dua hingga 15 tahun itu berkata, ini kali pertama mereka sekeluarga dipindahkan ke PPS ketika sambutan hari raya sejak lebih 30 tahun menetap di Kampung Bakalau, di sini.

Menceritakan semula detik cemas dilalui keluarganya, Azizah berkata, dia bersama suami serta anak berada di rumah sewaktu paras air banjir semakin tinggi.

"Kediaman kami terdiri daripada dua tingkat dan saya sekeluarga menetap di tingkat bawah.

"Air Sungai Padas mula melimpah sejak hari raya kedua namun kami beranggapan ia hanya banjir biasa.

"Bagaimanapun banjir semakin besar dan air sungai semakin tinggi hingga kami terpaksa menyelamatkan diri di tingkat atas.

"Saya dan suami kemudian mengambil keputusan meminta bantuan anggota keselamatan untuk berpindah kerana hanya tinggal dua anak tangga sahaja lagi air banjir sampai ke tingkat atas rumah selain bimbang keselamatan anak yang masih kecil," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Bakalau, Amuna Abdul Hadi, 34, berkata, sambutan Aidilfitri tahun ini disifatkan sedikit suram dan sederhana ekoran perlu menyambut Syawal di PPS selain kali pertama berhari raya tanpa arwah bapa.

Katanya, sambutan hari Syawal kedua lalu genap 100 hari pemergian arwah bapanya.

"Belum habis bersedih dengan pemergian arwah ayah, kami sekali lagi diuji dengan dugaan banjir.

"Bagaimanapun kami terima semuanya dengan hati terbuka," katanya yang bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Terdahulu, seramai 72 penduduk membabitkan 17 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara di daerah Beaufort dan Tenom setakat jam 8 pagi tadi.

Jumlah berkenaan bertambah berbanding 66 mangsa daripada 16 keluarga setakat jam 8 malam, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 1:36 PM