FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Cubaan seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) cuba melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Selayang, di sini, gagal, selepas dia ditahan di kawasan berhampiran hospital berkenaan, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh ditugaskan untuk menjaga seorang OKT berusia 39 tahun berkenaan di wad pemerhatian, Hospital Selayang, jam 1 tengah hari.

"Ketika anggota itu sedang memantau, dia melihat suspek berkenaan sedang berbaring dan mengalih kedudukan secara duduk di atas katil sambil tangan kirinya dalam keadaan bergari di bahagian kepala katil.

"Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba terus melompat dari katil dan berlari ke arah luar hospital dalam keadaan tangan kiri masih bergari.

"Ketika itu, anggota bertugas melihat besi kepala katil itu tercabut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, dua anggota polis berkenaan terus mengejar suspek terbabit sehingga ke hadapan kawasan Selayang Capital yang terletak kira-kira 120 meter dari wad itu sebelum berjaya menahan OKT terbabit.

"Semasa proses tangkapan dilakukan, berlaku sedikit pergelutan dan mengakibatkan seorang anggota polis cedera ringan.

"Siasatan dilakukan mendapati OKT terbabit dimasukkan ke Hospital Selayang pada Ahad lalu untuk rawatan disebabkan mengalami penyakit sawan," katanya.

Beliau berkata, suspek berkenaan yang mempunyai rekod jenayah serta dadah ditahan bersabit satu kes rogol di IPD Sungai Buloh dan direman selama tujuh hari.

"Susulan kejadian itu, kami membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

"Dalam kes ini, pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 8:55 AM