GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Program eBelia (eBelia), inisiatif kredit e-tunai bernilai RM300 juta akan dibuka kepada sekitar dua juta belia warga Malaysia yang layak bermula 1 Jun ini.

Ia bertujuan meringankan beban kewangan, selain menggalakkan perbelanjaan secara tanpa tunai dalam kalangan belia serta penuntut sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan berdaftar.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, di bawah Belanjawan 2021, sejumlah RM200 juta diperuntukkan bagi menyalurkan RM100 kredit e-tunai bagi setiap belia yang layak.

Katanya, kerajaan menambah baik inisiatif ini dengan peruntukan tambahan sejumlah RM100 juta di bawah program Pemerkasa yang diumumkan Mac lalu, menjadikan keseluruhan peruntukan bagi program ini sebanyak RM300 juta.

"Dengan faedah tambahan ini, setiap penerima layak mendapat nilai kredit berjumlah RM150, berbanding RM100 sebelum ini.

"eBelia akan ditawarkan melalui empat penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, Boost, ShopeePay and Touch 'n Go eWallet, yang secara keseluruhan mempunyai 30 juta pengguna aktif, dan jaringan lebih 1 juta peniaga di dalam dan luar talian.

"Setiap pemohon yang layak boleh menuntut RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-tunai ini, yang akan disertakan dengan insentif tambahan dalam bentuk cash back, baucar, mata terkumpul atau coins oleh penyedia perkhidmatan e-tunai yang dipilih sepanjang tempoh kempen," kata kenyataan itu.

Menurutnya, inisiatif ini dibuka kepada warga Malaysia yang mencapai usia 18 hingga ke 20 tahun pada tahun ini iaitu mereka yang lahir pada 2001 hingga 2003.

Selain itu, penuntut sepenuh masa di peringkat diploma atau SKM4 dan ke atas di IPT tempatan berdaftar juga boleh memohon.

Katanya, tempoh tuntutan kredit berkenaan adalah dari 1 Jun hingga 22 Julai depan dan kredit itu boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai tahun ini.

Mereka yang layak digalakkan untuk mengemas kini akaun di aplikasi e-tunai masing-masing atau memuat turun aplikasi e-tunai berkenaan sebelum 1 Jun ini.

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/index.php/bm/ebelia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 5:45 PM