ANTARA pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di  Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ANTARA pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Sebanyak 78 kes positif Covid-19 yang direkodkan dalam tempoh 11 hari sehingga hari ini, di Kampung Pauh Lima, dekat Bachok.

Difahamkan kes itu berpunca daripada penduduk kampung yang mengadakan solat berjemaah dan tadarus di sebuah surau.

Kes itu kemudian menular dan menjangkiti penduduk di perkampungan berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin mengesahkan sebanyak 78 kes yang dicatatkan di kampung itu sejak 7 Mei lalu.

Katanya, kes itu dicatatkan hasil daripada saringan terhadap 238 individu.

"Terdapat dua kematian yang dicatatkan di lokasi itu dan kita masih menyiasat punca kes jangkitan. Saya menasihatkan orang ramai supaya patuh prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan Covid-19 daripada menular," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kepada penduduk kampung yang mempunyai gejala dan kontak rapat dengan pesakit Covid-19 boleh membuat ujian saringan di lokasi ditetapkan.

Katanya, gelombang Covid-19 ini berbeza daripada gelombang pertama di Kelantan kerana kes dalam komuniti semakin banyak dan sentiasa wujud kluster-kluster baharu.

"Kadar kebolehjangkitan juga tinggi di Kelantan dan wujudnya varian baru yang cepat merebak dan lebih agresif," katanya.

Terdahulu, tular di Facebook dan WhatsApp bahawa Kampung Pauh Lima akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan kes Covid-19 yang tinggi di lokasi itu.

Orang ramai mendakwa ia juga berpunca daripada solat berjemaah dan tadarus di sebuah surau.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 5:02 PM