GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Ulu Lepar, Mukim Gali, di daerah Raub, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 18 Mei sehingga 31 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu dikenakan selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak lapan kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti itu.

"KKM juga mendapati berlaku peningkatan ketara kes positif Covid-19 dalam tempoh seminggu serta kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

"Pelaksanaan PKPD adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Turut dikenakan PKPD bagi tempoh sama, katanya, membabitkan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra di Kedah.

Menurutnya, KKM hari ini melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di beberapa lokaliti dalam Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra, iaitu Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C, Pusat Perniagaan Bandar Barat, Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung dan Taman Desa Darul Aman Mukim Naga.

"Sehingga kini, KKM sudah melakukan 207 ujian saringan di semua lokaliti itu dan 94 daripadanya disahkan positif Covid-19.

"KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes secara mendadak serta kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu sekali gus keputusan PKPD dilaksanakan dari 18 Mei sehingga 31 Mei 2021," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan memutuskan untuk menamatkan PKPD di lokaliti Windmills Condominium, Genting View Resorts dan Apartment Mawar, Genting Highlands, Bentong, Pahang berkuat kuasa hari ini.

Menurutnya, sebelum ini kerajaan sudah melaksanakan PKPD di lokaliti itu yang dijadualkan tamat pada 23 Mei ini.

"Sepanjang tempoh itu, KKM melakukan 237 ujian saringan dan tujuh daripadanya disahkan positif Covid-19.

"KKM juga mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif sudah menerima rawatan.

"Justeru, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD itu lebih awal daripada yang dijadualkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 7:36 PM