Nurul Amanina Suhaini

Iskandar Puteri: Polis akan menjalankan siasatan berhubung penularan video disyaki berkaitan penyeludupan arak di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan itu dijalankan susulan satu video bertajuk 'adakah ini kerja sindiket arak di Johor?' yang dimuat naik dalam sebuah akaun laman sosial Facebook (FB), kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Katanya, dalam sedutan video berdurasi 2.21 minit itu memaparkan beberapa lelaki memuatkan barangan dipercayai arak ke dalam bonet sebuah kereta di parkir bangunan.

TULAR video memaparkan beberapa lelaki yang sedang memuatkan barangan dipercayai arak ke dalam bonet sebuah kereta di parkir bangunan. FOTO Ihsan Polis Johor
TULAR video memaparkan beberapa lelaki yang sedang memuatkan barangan dipercayai arak ke dalam bonet sebuah kereta di parkir bangunan. FOTO Ihsan Polis Johor

"Pemilik akaun FB turut mendakwa ia berlaku di kawasan zon bebas cukai.

"Justeru itu, pihak polis Iskandar Puteri mengambil maklum perkara terbabit dan akan menjalankan siasatan lanjut berkaitan dakwaan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang awam turut diminta sekiranya mengesan sebarang aktiviti berkenaan untuk terus menghubungi pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 5:47 PM