PANGLIMA ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang meninjau Hospital Medan ATM di Kapit hari ini. FOTO ihsan Sel Perhubungan Raya 1 Divisyen
PANGLIMA ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang meninjau Hospital Medan ATM di Kapit hari ini. FOTO ihsan Sel Perhubungan Raya 1 Divisyen
Mohd Roji Kawi


Kapit: Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus beroperasi di Kapit selagi diperlukan bagi membantu Hospital Kapit menangani rawatan perubatan pesakit bukan Covid-19 di daerah pedalaman itu.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang memberi jaminan itu ketika mengadakan lawatan singkat ke Hospital Medan ATM yang beroperasi di Dewan Masyarakat Melayu Kapit, di sini, hari ini.

Malah katanya, ATM juga bersedia menambah jumlah katil di hospital medan yang beroperasi sejak Isnin lalu itu jika keadaan memerlukan.

"Buat masa ini wad Hospital Medan ATM di Kapit boleh menampung 40 pesakit dan jika diperlukan kita akan menambah sehingga 100 katil. Hospital ini (Hospital Medan ATM) akan terus berada di sini (Kapit) selagi ia diperlukan, ia tiada jangka masa.

"Apabila pihak KKM kata kita tidak diperlukan lagi, maka kita akan berkemas dan balik," katanya ketika ditemui media selepas meluangkan masa kira-kira sejam meninjau hospital medan berkenaan.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh, Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa.

Menurut Affendi lagi, ATM akan sentiasa meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghadapi gelombang ketiga penularan pandemik Covid-19.

"Ini antara komitmen ATM dalam tugas sekunder bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

"Pada masa yang sama, saya juga mengharapkan setiap lapisan masyarakat memberikan kerjasama dan mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi memastikan rantaian pandemik Covid-19 ini dapat diputuskan demi kesejahteraan semua," katanya.

Perkhidmatan Kesihatan ATM menerusi Kor Kesihatan Diraja (KKD) mengatur gerak pasukan dari Batalion Pertama Perubatan yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan serta kelengkapan ke Kapit pada 6 Mei lalu bagi mengoperasikan hospital kedua seumpamanya selepas penubuhan hospital medan di Tawau, Sabah.

Hospital Medan ATM di Kapit itu kini berkapasiti 40 katil dilengkapi dengan kemudahan wad, farmasi, x-ray dan bilik rawatan kecemasan dikendalikan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak yang turut menyediakan staf Hospital Kapit bagi membantu pasukan perubatan ATM.

Ketika ini, ATM menempatkan enam pegawai diketuai Leftenan Kolonel Dr Saiful Anuar Ju @ Ju Ahmad sebagai Komander Hospital Medan serta tiga pegawai perubatan, seorang pegawai tugas khas, seorang pegawai tadbir serta 53 anggota terdiri daripada 32 paramedik dan 21 anggota perkhidmatan sokongan manakala KKM pula menempatkan 10 jururawat dan enam kakitangan perkhidmatan sokongan.

Hospital itu beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan perkhidmatan yang disediakan termasuklah rawatan pesakit dalam dan perkhidmatan bahagian pentadbiran dan sokongan.

Sejak hari pertama menerima pesakit pada 10 Mei lalu sehingga 14 Mei, tujuh pesakit ditempatkan di hospital itu dan seorang daripadanya sudah dibenarkan keluar.

Ketika ini, hospital berkenaan belum dilengkapi dengan kemudahan pembedahan namun perkhidmatan dewan bedah dan unit rawatan rapi (ICU) akan dipertingkatkan jika ada keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 2:34 PM