GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Empat lagi individu yang juga pelajar sekolah ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kejadian melontar mercun ke arah anggota polis di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, empat suspek berusia antara 14 hingga 16 tahun itu ditahan dalam serbuan di pangsapuri berkenaan bermula jam 10 malam hingga 3 pagi tadi.

"Soal siasat terhadap suspek berkenaan, mereka mengaku terbabit dalam kejadian itu dengan ada di antara mereka menyala selain membaling mercun bola ke arah anggota polis.

"Mereka mengaku membaling mercun kerana tidak puas hati dengan tindakan polis menghentikan 'keseronokan' mereka bermain mercun di kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Eng Lai berkata, semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 17 Mei ini untuk siasatan lanjut.

"Kami perlu mengambil tindakan tegas dalam isu terbabit kerana kejadian seumpama ini boleh mendatangkan kecederaan kepada orang ramai atau kebakaran jika tidak ditangani.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti membakar mercun kerana ia adalah perbuatan yang dilarang," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menahan empat individu berusia antara 12 hingga 58 tahun yang dipercayai terbabit dengan kejadian itu pada Khamis lalu.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti identiti mayat wanita yang ditemui terapung dalam keadaan bogel di Sungai Batu 3, Jalan Ipoh, di sini, semalam.

"Bagaimanapun, kami ada menerima laporan berkaitan orang hilang membabitkan seorang wanita berusia 30 tahun di Balai Polis Kepong pada 11 Mei lalu.

"Berdasarkan keadaan fizikal mayat berkenaan, kami mendapati terdapat sedikit persamaan mangsa dengan individu hilang terbabit. Namun, kami masih menunggu pengesahan identiti mangsa menerusi cap jari daripada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Pada masa sama, proses bedah siasat terhadap mayat masih berjalan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN). Setakat ini, kes itu masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan penemuan mayat wanita berusia lingkungan 30 tahun yang ditemui terapung dalam keadaan bogel di Sungai Batu 3, Jalan Ipoh, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 3:03 PM