Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Polis menafikan wujud perhimpunan solidariti terhadap tangkapan berkaitan insiden membakar suar dan menaikkan kain rentang menyatakan bantahan kepada kerajaan di Parit Raja, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, tular di akaun Twitter semalam yang menyatakan terdapat sekumpulan pemuda bermotosikal di sebuah stesen minyak yang didakwa menunjukkan solidariti ke atas rakan mereka yang tangkap.

"Akaun Twitter itu memuatnaik rakaman video sekumpulan lelaki bermotosikal berkumpul di stesen minyak.

"Siasatan awal bagaimanapun mendapati video itu dipercayai dirakam pada 13 Mei lalu antara jam 5 petang hingga 7 malam iaitu sebelum tangkapan dibuat ke atas mereka yang disyaki terbabit dalam insiden berkenaan. Jadi ia bukan perhimpunan solidariti sebaliknya video sebelum insiden itu berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Semalam, polis menahan 20 suspek dipercayai terbabit dalam kejadian tunjuk perasaan di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 22.5, Jalan Batu Pahat - Kluang, Rabu lalu.

Suspek berusia antara 16 hingga 28 tahun itu ditahan dalam operasi khas bermula 11 malam di sekitar daerah Batu Pahat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 11:19 AM