DR Noor Hisham, gambar fail. FOTO Bernama
DR Noor Hisham, gambar fail. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutus melanjutkan tempoh kuarantin dari 14 hari kepada 21 hari bagi semua penumpang Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang tiba dari India pada 12 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perlanjutan juga dikenakan terhadap penumpang yang tiba melalui penerbangan repatriasi pada 13 Mei lalu.

Beliau berkata, pada 11 Mei laku kerajaan bersetuju membawa pulang rakyat Malaysia dari India menerusi misi HADR.

"Penerbangan berkenaan membawa pulang 132 orang (64 lelaki dan 68 perempuan) iaitu 117 orang rakyat Malaysia, lapan warga Brunei, empat warga Denmark, dua warga India dan seorang warga Indonesia.

"Mereka terdiri dari 92 orang dewasa dan 40 orang kanak-kanak. Misi ini hanya membawa pulang penumpang dengan keputusan ujian RT- PCR Covid-19 negatif sahaja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seramai 20 petugas iaitu 14 anak kapal, empat anggota KKM dan masing-masing seorang anggota dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) juga menyertai penerbangan ini.

"Mereka mengenakan kelengkapan PPE (Personal Protection Equipment) penuh.

"Sebaik sahaja mendarat di KLIA, penumpang-penumpang ini dibawa melalui laluan khas ke Air Disaster Unit (ADU) KLIA untuk menjalani saringan kesihatan.

"Didapati tiada penumpang yang mengalami gejala, namun mereka telah diambil swab untuk ujian pengesanan RT-PCR Covid-19.

"Keputusan ujian yang diperoleh pada 13 Mei lalu menunjukkan tujuh dari 132 penumpang dikesan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 5.3 peratus.

"Mengambil kira keputusan di atas dan penilaian risiko yang dijalankan, maka KKM memutuskan untuk melanjutkan tempoh kuarantin wajib bagi penumpang berkenaan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, semua individu berkenaan juga perlu menjalani ujian makmal RT-PCR bagi pengesanan Covid-19 mengikut SOP yang ditetapkan.

"Selanjutnya, KKM akan memantau situasi ini, dan akan membuat penilaian risiko untuk segera melihat keperluan memanjangkan tempoh kuarantin dari 14 hari kepada 21 hari bagi semua penumpang lain yang akan tiba dari negara India (misalnya rakyat Malaysia).

"Sekatan sedia ada bagi penumpang bukan warganegara ke Malaysia dari India masih berkuat kuasa seperti biasa.

"Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk memberi kerjasama dalam mengekang kemasukan varian baharu dari India, iaitu varian B.1.617," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 10:15 PM