GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dua kampung di Melaka dan Sabah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan bermula Ahad ini sehingga 29 Mei, selepas merekodkan peningkatan kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kampung terbabit adalah Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka dan Lorong 2 Kampung Kongsi 8, Tawau, Sabah.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh dua minggu apabila sebanyak 56 kes positif direkodkan di Kampung Lubok Redan.

"Manakala sebanyak 15 kes positif Covid-19 direkodkan hasil daripada 56 saringan di Lorong 2 Kampung Kongsi 8 selain kadar positivitinya adalah 26.79 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes positif supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti lain.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, Kunak, Sabah dilanjutkan kerana masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk dan terdapat sebanyak 51 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan.

Katanya, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD berkenaan bermula esok sehingga 28 Mei ini.

Manakala PKPD di Kampung Bergosong pula akan ditamatkan seperti yang dijadualkan mulai esok.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 6:36 PM