LAPORAN portal MyMetro
LAPORAN portal MyMetro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan tiga lelaki, termasuk dua remaja kerana bermain mercun yang dilarang di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, individu masing-masing berusia 44,13 dan 12 tahun itu didapati menyalakan sumbu mercun jenis bola dan membalingnya dari tingkat 11 pangsapuri terbabit.

"Ketika pemeriksaan di pangsapuri terbabit, sebanyak 48 mercun jenis bola dirampas daripada beg silang yang dipakai oleh salah seorang tangkapan berusia 13 tahun.

"Susulan tangkapan itu, pada 11 malam, polis menyerbu sebuah premis di Blok 39 dalam pangsapuri yang sama dan menahan seorang lelaki berusia 58 tahun kerana didapati menjual mercun tanpa lesen yang sah serta merampas 130 mercun bola serta pelbagai jenis bunga api," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua tangkapan juga disiasat bersabit kes lontaran mercun terhadap anggota polis di kawasan berkenaan.

"Setakat ini, polis tidak menemui keterangan untuk mengaitkan pembabitan mereka dalam kes berkenaan, semua individu yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 ke atas tangkapan kemudian kerana memiliki atau menjual mercun yang dilarang," katanya.

Berita berkaitan

Polis dilontar mercun

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 5:36 PM