WARGA Palestin menunaikan solat sunat Aidilfitri di sekitar Masjid Kubah Batu dalam perkarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis semalam. - Foto AFP
WARGA Palestin menunaikan solat sunat Aidilfitri di sekitar Masjid Kubah Batu dalam perkarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis semalam. - Foto AFP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: 'Birruh, Biddam Nafdika Ya Aqsa' (dengan roh, dengan darah, kami bela kau Ya Aqsa).

Itu nekad gabungan badan bukan kerajaan (NGO), MyAqsaDefenders yang menggerakkan tabung menggunakan platform masing-masing untuk membantu penduduk Gaza.

Gabungan itu yang terdiri daripada gabungan 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mensasarkan kutipan dana RM10 juta untuk saudara Islam di sana.

Dalam satu kenyataan yang dibacakan rakyat Malaysia di Gaza, Nadir Al Nuri Kamarulzaman berkata, objektif utama gabungan ini adalah untuk menggembleng serta menyatukan usaha NGO dan juga keprihatinan rakyat Malaysia terhadap isu Palestin, di samping memastikan setiap sumbangan rakyat Malaysia dapat disalurkan kepada usaha bantuan yang lebih signifikan, komprehensif dan teratur.

"Dana bantuan permulaan sebanyak RM10 juta disasarkan untuk dikumpul secara bersama melalui rakan gabungan dengan kerjasama 'Influencer' yang terbabit sehari selepas perbincangan pertama pada 11 Mei lalu.

"Daripada jumlah itu, ia akan diagihkan kepada bantuan kecemasan, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang," katanya pada sidang media pelancaran #MyAqsaDefenders hari ini..

Menurutnya, sejumlah RM2 juta sudah berjaya dikumpulkan badan gabungan NGO yang terbabit dan usaha untuk mencukupkan dana sasaran kini sedang giat dilakukan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta disalurkan bagi memenuhi keperluan membaik pulih Klinik Al-Aqsa yang terjejas di samping memastikan stok ubat dan keperluan rawatan kecemasan sentiasa tersedia termasuk alatan seperti ventilator bergerak.

"Sebahagian daripadanya akan dimanfaatkan untuk bantuan kewangan segera kepada murabitin Al-Quds, bayaran kos guaman mereka yang ditangkap sama ada di dalam insiden Al-Aqsa atau Perkampungan Syeikh Al-Jarrah serta keperluan sara hidup penduduk Kota Lama Al-Quds," kata kenyataan itu.

Katanya, sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan bagi bantuan membaik pulih infrastruktur dan juga rumah penduduk di Kota Lama al-Quds di dalam usaha untuk memastikan mereka dapat terus bertahan dan mengekalkan demografi rakyat Palestin di kawasan itu.

Sepanjang lebih satu jam bersiaran secara dalam talian, gerakan itu berjaya mengumpulkan RM200,000 hasil sumbangan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 1:46 PM