KEADAAN bilik rawatan di Hospital Medan ATM Kapit. FOTO Ihsan Sel Perhubungan Raya 1 Div
KEADAAN bilik rawatan di Hospital Medan ATM Kapit. FOTO Ihsan Sel Perhubungan Raya 1 Div
Mohd Roji Kawi


Kuching: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia menggerakkan aset serta keanggotaan dari Semenanjung jika ada keperluan untuk menubuhkan hospital medan tambahan di Sarawak.

Panglima 1 Divisyen Infantri Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, ketika ini tumpuan diberikan kepada Hospital Medan ATM di Kapit yang beroperasi sejak Isnin lalu.

Beliau berkata, ketika ini tiga doktor dan 35 pembantu perubatan ATM dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) mengendalikan hospital medan di Kapit itu bagi membantu Hospital Daerah Kapit mengendalikan rawatan untuk pesakit bukan Covid-19.

"Ketika ini kami menumpukan kepada hospital medan di Kapit dahulu, tetapi jika ada keperluan mendesak (di tempat lain), kami bersedia menggerakkan anggota dan aset dari Semenanjung.

"Pada masa sama, kami memerlukan sokongan kerajaan negeri khususnya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam usaha untuk menubuhkan hospital medan," katanya.

Dzulkafli berkata, selepas empat hari beroperasi, Hospital Medan ATM di Kapit sudah menerima empat pesakit untuk menerima rawatan di wad.

"Hospital berkenaan mempunyai 40 katil serta dilengkapi kemudahan rawatan yang diperlukan kecuali bilik bedah," katanya.

Kapit antara daerah yang mencatat kes Covid-19 yang tinggi di Sarawak dan Hospital Kapit yang mempunyai 134 katil tidak mampu menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Justeru, Hospital Medan ATM menjadi alternatif untuk membantu mengendalikan rawatan pesakit luar dan pesakit yang tidak dijangkiti Covid-19, manakala Hospital Kapit memberi tumpuan sepenuhnya kepada rawatan pesakit yang dijangkiti wabak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 10:54 AM