Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Kegembiraan menyambut Syawal tidak hanya dirasai umat Islam tetapi juga bukan Islam yang dapat berpuasa penuh sepanjang Ramadan.

Seorang daripadanya adalah pegawai khidmat pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi, Joe Chai Tzyy Ping, 41, yang menyempurnakan misinya untuk berpuasa penuh tahun ini.

Joe mengakui seronok berpuasa sepanjang Ramadan dan berasa satu kemenangan apabila dapat menyempurnakan misinya.

"Saya berpuasa sejak di tingkatan lima dan belajar melakukannya kerana mahu menghormati rakan beragama Islam yang menjalankan ibadah itu.

"Sejak itu, saya teruskan berpuasa tetapi bukan setiap tahun penuh (puasa) kerana ada ketikanya tidak sampai waktu berbuka.

"Tahun ini, saya lakukannya sekali lagi dan dapat berpuasa sehingga hari ke 30 walaupun ada hari saya tidak tahan kerana mengalami sakit perut.

"Kejayaan berpuasa penuh itu juga membuatkan saya rasa bersemangat untuk bangun pagi, hari ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

JOE Chai Tzyy Ping meraikan Aidilfitri selepas sebulan berpuasa.
JOE Chai Tzyy Ping meraikan Aidilfitri selepas sebulan berpuasa.

Berkongsi pengalaman berpuasa dan menyambut Aidilfitri ketika pandemik Covid-19, Joe berkata, dia tidak mengunjungi bazar Ramadan sebaliknya membeli juadah di tempat lain serta berbuka sendiri di rumah.

Katanya, sambutan Syawal juga tidak sama seperti dua tahun lalu kerana perlu akur dengan larangan ziarah Aidilfitri dikuatkuasakan kerajaan.

"Lazimya, saya akan menziarahi rumah kakak angkat pada 1 Syawal untuk menyambut hari raya bersamanya dan suasana ketika berkumpul memang meriah tetapi tahun ini, hanya duduk di rumah saja.

"Mujurlah jiran sebelah prihatin dengan saya yang tinggal sendiri malah turut memberi juadah hari raya kegemaran saya iaitu lemang dan lain-lain.

"Mahu atau tidak, kita semua perlu sesuaikan dengan sambutan raya norma baharu dan saya berharap dapat berpuasa lagi tahun hadapan," katanya.

Chai Tzyy Ping menikmati juadah pemberian jirannya.
Chai Tzyy Ping menikmati juadah pemberian jirannya.

Mengenai baju raya pula, Joe berkata, dia tidak membeli yang baru sebaliknya memakai koleksi lama.

"Saya tidak mahu membazir dan mahu meraikan Syawal dengan sederhana saja.

"Lagipun, ramai di luar sana kurang bernasib baik jadi saya tidak sampai hati untuk berbelanja apabila mengenangkan kesusahan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 3:46 PM