Aizat Sharif


Arau: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri dalam suasana norma baharu di pekarangan Istana Arau, hari ini.

Baginda dan anakanda bersama masyarakat kariah Arau menunaikan solat itu yang diimamkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor, manakala khutbah dibacakan oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Pelaksanaan solat di kawasan tanah lapang yang bermula 8 pagi, selaras dengan ketetapan MAIPs yang dipengerusikan Tuanku Syed Faizuddin, susulan penularan Covid-19.

Jemaah hadir untuk bersolat turut diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak dengan memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, menjaga jarak fizikal, tidak bersalaman dan mendaftar MySejahtera.

Solat dan khutbah juga diringkaskan sebagai usaha mengurangkan risiko penularan.

TUANKU Syed Sirajuddin berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Dataran Istiadat, pekarangan Istana Arau hari ini. FOTO Bernama.
TUANKU Syed Sirajuddin berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Dataran Istiadat, pekarangan Istana Arau hari ini. FOTO Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 10:02 AM