KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pematuhan 100 peratus terhadap prosedur operasi standard (SOP) digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang perayaan Aidilfitri, esok, penting dalam memastikan penularan Covid-19 dalam komuniti tidak terus meningkat.

Ia terutama berikutan lebih banyak kes varian membimbangkan (VOC) dilaporkan ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seperti sering ditekankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN dalam sidang media, keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti di negara ini semakin meruncing.

Beliau berkata, selain itu, peningkatan kluster terutama kluster rentas negeri, kenaikan sehingga 70 peratus kes jangkitan sporadik dalam komuniti dan kenaikan sehingga 80 peratus kes tidak bergejala semakin membimbangkan.

"Justeru, masyarakat harus mengambil iktibar dan berusaha untuk mengelakkan daripada dijangkiti virus Covid-19.

"Sempena Aidilfitri disambut umat Islam di seluruh negara esok, KKM ingin mengingatkan rakyat supaya sentiasa patuh kepada SOP Hari Raya seperti dikeluarkan MKN.

"Rakyat dinasihatkan untuk mengelakkan daripada menghadiri sebarang perhimpunan besar-besaran termasuk solat Hari Raya beramai-ramai melebihi had dibenarkan dan menangguhkan aktiviti ziarah-menziarahi termasuk menziarahi kubur," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pada tahun ini sahaja, terdapat peningkatan kluster begitu ketara iaitu 435 kluster komuniti dengan 129 masih aktif.

Menurutnya, kluster komuniti berpunca daripada jangkitan kontak keluarga dan kontak rapat, aktiviti keraian, pengebumian, perkahwinan, perayaan dan lain-lain aktiviti sosial.

Katanya, majoriti mereka yang dijangkiti tidak bergejala (78.4 peratus) lantas menjadikan risiko jangkitan serta penularan amat tinggi jika aktiviti kunjung mengunjung di hari raya tetap dilaksanakan.

"Orang ramai diingatkan untuk mematuhi larangan rentas sempadan negeri dan daerah (berdasarkan sempadan daerah ditetapkan Kerajaan Negeri).

"Mereka perlu akur SOP membenarkan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah.

"Selain itu, 20 orang bagi masjid dan surau boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah mengikut ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri serta tidak menganjurkan majlis sosial seperti aktiviti ziarah dan sambutan Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata, KKM berharap masyarakat memahami situasi ini dan akur kepada nasihat dikeluarkan demi kebaikan bersama.

Menurutnya, jangkitan Covid-19 tidak mengenal mangsa, tempat, waktu, dan ketika, sebaliknya sesiapa sahaja boleh dijangkiti sekiranya alpa dan mengambil sikap tidak endah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 9:08 PM