Sebahagian ubat batuk yang dirampas PGA di Lati, Pasir Mas, pagi hari ini. Foto Ihsan PGA
Sebahagian ubat batuk yang dirampas PGA di Lati, Pasir Mas, pagi hari ini. Foto Ihsan PGA
Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Tindakan berani pemandu lori membawa 160 bekas ubat batuk bernilai RM192,000 membawa padah apabila kegiatannya itu dikesan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di hadapan sebuah Sekolah Pendidikan Khas di Lati di sini, hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Superintendan Azhari Nusi berkata, angggota yang rondaan terserempak dengan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan pada 5.30 pagi.

Menurutnya, anggota PGA itu kemudiannya menahan lori terbabit dan memperkenalkan diri sebelum minta pemandunya mengemukakan kad pengenalan diri serta membuat pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa.

"Tiada sebarang barangan salah ditemui, namun pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori mendapati ada susunan kotak berisi bekas yang mengandungi cecair dipercayai ubat batuk.

"Turut dirampas wang tunai sebanyak RM891 disyaki hasil daripada kegiatan penjualan bahan terbabit, malah siasatan lanjut mendapati ia dijual pada harga RM1,200 sebekas.

"Anggota kami kemudiannya menahan pemandu dan merampas barangan serta lori untuk dibawa ke Balai Polis Pasir Mas bagi siasatan dan tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil soal siasat, suspek mengakui mengambil bekalan dadah ini dari Puchong, Selangor menggunakan lori untuk pasaran sekitar negeri Kelantan.

"Saya berharap dengan rampasan ini dapat membantu PGA mendapatkan informasi yang lebih banyak berkaitan kegiatan ini sekali gus, menyelamatkan lebih ramai anak muda daripada terjebak dengan penyalahgunaan bahan khayal.

"Walaupun sambutan hari raya menjelang tiba, anggota PGA7 terus komited menjalankan tugas demi memastikan jenayah rentas sempadan dapat dibanteras dalam keadaan apa sekali pun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 10:56 AM