ANGGOTA bomba melakukan pemadaman membabitkan kebakaran enjin sebuah feri penumpang di Terminal Feri Kuala Kedah. FOTO ihsan BOMBA
ANGGOTA bomba melakukan pemadaman membabitkan kebakaran enjin sebuah feri penumpang di Terminal Feri Kuala Kedah. FOTO ihsan BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Bahagian enjin sebuah feri penumpang terbakar sebelum bertolak ke Langkawi dalam kejadian di Terminal Feri Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 4 petang tadi, kesemua 305 penumpang dalam feri itu berjaya dipindahkan ke feri lain.

Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, Mohd Hafiz Abdul Majid mengesahkan laporan berhubung kejadian.

Menurutnya, feri kedua yang membawa kesemua penumpang berkenaan meneruskan perjalanan ke Langkawi pada 5 petang.

"Siasatan masih dilakukan oleh pihak bomba untuk mengenal pasti punca kejadian. Tiada tumpahan minyak dilaporkan setakat ini," katanya ketika dihubungi, di sini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran feri itu pada 4.22 petang.

Beliau berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dihantar ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi, sepasukan anggota diketuai Khirul Anwar Shaari mendapati kebakaran membabitkan penjana kuasa di bahagian enjin feri penumpang.

"Anggota bomba bertindak memadam kebakaran itu, dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 8:13 PM