PENIAGA daging lembu di Pasar Besar Ipoh, Mohamad Khidir Azim Ahmad Nizar, 28. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
PENIAGA daging lembu di Pasar Besar Ipoh, Mohamad Khidir Azim Ahmad Nizar, 28. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Harga tinggi daripada pembekal selain khidmat pekerja tambahan susulan banyak permintaan pada musim perayaan didakwa antara faktor mendorong kenaikan harga daging tempatan.

Tinjauan di Pasar Besar Ipoh, di sini, mendapati rata-rata peniaga akur dengan harga siling daging iaitu RM34 sekilogram, namun ada juga terpaksa meletakkan harga lebih tinggi sehingga RM40 sekilogram.

Peniaga daging, Sefpee Daros, 56, berkata dia terpaksa menjual daging pada harga RM40 sekilogram kerana harga yang diperoleh daripada pembekal adalah RM30 sekilogram.

Menurutnya, selain itu dia juga perlu menampung kos apabila menambah tiga lagi pekerja di musim perayaan berbanding tiga pekerja sedia ada.

Katanya, kebiasaannya dua hingga tiga ekor lembu dengan berat kira-kira 150 kilogram setiap ekor diperuntukkan dalam sehari, namun tidak semua bahagian mampu terjual khususnya lemak dan tulang.

"Saya terpaksa jual mahal sebab dapat dari pemborong pun mahal. Untuk daging segar yang dilapah dan tanpa lemak saya jual RM40 sekilogram.

"Memang boleh jual lebih murah namun bersama lemak yang belum dipisahkan daripada daging, tetapi pelanggan lebih memilih daging tanpa lemak.

"Saya sedar ada pelanggan mengeluh kerana ada peniaga lain menjual lebih murah, namun kami jual daging tanpa lemak," katanya.

Katanya, dia sudah diberi amaran oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dan sedia menunjukkan bukti peningkatan harga berlaku di peringkat pembekal.

Sementara itu, peniaga daging lain yang enggan dikenali berkata, KPDNHEP seharusnya memantau isu kenaikan harga daging di peringkat penternak, pembekal dan peraih dan bukan menunding jari kepada peniaga kecil.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, pihaknya tidak menerima aduan penguna mengenai kenaikan harga daging tempatan melebihi harga siling ditetapkan.

Katanya, peniaga perlu akur dengan harga siling tanpa mengemukakan alasan lain termasuk daging yang dijual adalah daging tempatan segar tanpa diselaputi lemak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 4:58 PM