Antara peralatan dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur. Foto Ihsan PDRM
Antara peralatan dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur. Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan saham dan aktiviti perjudian dalam talian selepas menahan empat lelaki warga China semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menyerbu sebuah kondominium di Mont Kiara di sini, pada 6.35 petang dan menahan empat lelaki berusia 26 hingga 32 tahun.

Menurutnya, polis turut merampas sembilan komputer riba, 26 telefon bimbit pelbagai jenama, satu unit tablet dan beberapa lagi peralatan.

"Turut dirampas adalah wang tunai sebanyak RM95,550 dan mata wang asing.

"Suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saiful berkata, sindiket itu dipercayai menyewa premis berkenaan sejak lima bulan lalu dengan bayaran RM8,000 sebulan, manakala setiap pekerjanya menerima gaji RM6,500 sebulan.

Menurutnya, pihaknya menasihati supaya orang ramai tidak terbabit dengan kegiatan perjudian dalam talian kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemain atau pelanggan.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 11:06 AM