Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) kelapan bertempat di Gelanggang Seni di sini, hampir siap sepenuhnya dan akan dibuka dalam masa terdekat bagi menempatkan pesakit tahap satu, dua dan tiga.

Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob berkata, PKRC Khas Gelanggang Seni bakal dilengkapi dengan 30 katil perubatan, bekalan oksigen mudah alih, mesin elektrokardiogram (ECG) dan kelengkapan perubatan lain.

Menurutnya, katil perubatan itu dijangka akan sampai hari ini atau pagi esok yang khusus bagi menempatkan kes Covid-19 tahap tiga.

"Selepas katil perubatan itu sampai, PKRC di lokasi itu akan dibuka yang dijangka pada hari raya pertama atau kedua.

"PKRC ini juga akan menyediakan 70 katil dua tingkat untuk sejumlah 140 pesakit bagi menempatkan pesakit Covid-19 kategori satu dan dua.

"Kita akan menempatkan pesakit wanita di PKRC ini memandangkan PKRC di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa hampir penuh 100 peratus, manakala katil perubatan untuk menempatkan pesakit berisiko lelaki dan wanita," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri membantu dengan meluluskan RM213,000 untuk 30 katil perubatan yang lengkap dan empat peralatan pemantauan pesakit.

Menurutnya, Tengku Puan Temenggong Kelantan Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj juga mendermakan troli kecemasan dan peralatan ECG kepada PKRC ini.

"Kemudahan ini diharap dapat menampung keperluan pesakit memandangkan kes harian Covid-19 di Kelantan masih lagi tinggi.

"Kita mohon masyarakat supaya patuh prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak hadir ke tempat sesak.

"Bagi sambutan Aidilfitri, kalau boleh elak aktiviti kunjung mengunjung dan kita boleh berhubung dengan ahli keluarga dengan menggunakan panggilan video sahaja," katanya.

Katil yang disediakan kepada pesakit Covid-19 di PKRC Khas Gelanggang Seni di Kota Bharu. Foto FB Noor Hisham Abdullah
Katil yang disediakan kepada pesakit Covid-19 di PKRC Khas Gelanggang Seni di Kota Bharu. Foto FB Noor Hisham Abdullah

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 10:44 AM