A Famosa. FOTO arkib NSTP
A Famosa. FOTO arkib NSTP
Nazri Abu Bakar


Melaka: Bekas Ketua Menteri Melaka ke-6, Tan Sri Rahim Tamby Chik tidak bersetuju pandangan terdapat masjid di bawah runtuhan kota A Famosa seperti dakwaan beberapa pihak.

Terdahulu, tular promo sebuah dokumentari dan menjadi perdebatan netizen yang mendakwa Kota A Famosa dibina di atas runtuhan Masjid Agong di kawasan berkenaan.

Menurutnya, tapak kota A Fomasa dahulunya terletak di tepi laut sahaja dengan bahagian depannya kini tanah laut yang ditambak.

Katanya, pembinaan kota itu kemungkinan mengambil pertimbangan ianya berdekatan laut bagi memudahkan kapal perang yang datang menurunkan tentera memasuki kota berkenaan sebagai perlindungan.

TAN Sri Rahim Tamby Chik. FOTO Nazri Abu Bakar
TAN Sri Rahim Tamby Chik. FOTO Nazri Abu Bakar

"Malah Sultan ketika itu tidak mungkin membina masjid di tepi laut dengan keadaan air laut pasang surut. Pasti masjid berkenaan di bina di kawasan sesuai dan selamat.

Dia yang pernah terbabit memajukan Melaka menganggap ianya andaian semata mata berdasarkan pintu kota itu kebetulan menghadap arah kiblat.

"Melaka ketika itu menjadi kawasan simbol keagungan Islam dan perdagangan yang sentiasa diserang pelbagai pihak. Portugis tahu perkara itu dan mereka bukan semata-mata mahu menguasainya sebaliknya bertindak menyebarkan agama lain.

"Jika kita membuat siasatan, tiada sumber dan fakta daripada mana-mana penulisan sumber Portugis, Inggeris dan Belanda menjelaskan mereka berjaya menakluki Melaka dan mengisytiharkan membina kota di bawah runtuhan masjid yang ditawan," katanya tadi.

Rahim juga mendedahkan terdapat syarikat dari Portugal bersetuju untuk 'restore' (membina) semula Kota Famosa yang besar itu ketika dia menjadi KM.

Bagaimanapun, pihak berkenaan mahu membina sebuah gereja di atas bukit terbabit menyebabkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ketika itu tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan kerana ianya hanya mahu memulihara apa yang ada sahaja.

Apapun, kota berkenaan harus dikekalkan kerana ianya perlu menjadi pengajaran dan pendidikan kepada generasi akan datang berkaitan sejarah bangsa dan agama.

Ianya menjadi nilai kepada erti generasi untuk menjaga dan memulihara negara supaya kejadian sama tidak berulang pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 8:16 PM