Pegawai KKM mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada sebuah restoran masakan Thai kerana gagal memastikan pekerja mendaftar masuk premis dan membuat imbasan Kod QR MySejahtera.
Pegawai KKM mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada sebuah restoran masakan Thai kerana gagal memastikan pekerja mendaftar masuk premis dan membuat imbasan Kod QR MySejahtera.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Saya hilang kerja ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi saya datang sini kerja."

Itu alasan diberikan seorang pekerja lelaki warga Bangladesh selepas pemeriksaan polis terhadap permit kerjanya mendapati dia melanggar syarat permit sebagai tukang cuci dengan bekerja sebagai pembantu restoran.

Lelaki itu bersama enam lagi rakan sekerjanya berusia 23 hingga 28 tahun ditahan di sebuah restoran makanan Jepun di Solaris Dutamas di sini, dalam Operasi Bersepadu Covid-19 oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Operasi dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermula jam 11 pagi itu dilakukan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kalangan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebanyak enam premis diperiksa dan dua premis dikenakan tindakan kompaun RM20,000 kerana melanggar SOP PKP termasuk sebuah premis dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen kerana melindungi warga asing tanpa permit sah.

Menurutnya, dua premis itu dikenakan tindakan kompaun selepas gagal memastikan pekerja mendaftar masuk premis dan membuat imbasan Kod QR MySejahtera.

"Ketika pemeriksaan dilakukan di sebuah restoran masakan Thailand, kita (polis) mengesan tiga pekerja wanita warga asing gagal mendaftar masuk premis. Semakan mendapati mereka mempunyai permit kerja sah dan kali terakhir mendaftar masuk premis pada semalam.

"Oleh itu, kita memanggil pemilik restoran dan menerangkan mengenai kesalahan yang dilakukan sebelum mengeluarkan kompaun berjumlah RM10,000," katanya dalam sidang media selepas menyertai operasi berkenaan di sini, hari ini.

Selain itu, Beh berkata, sebuah restoran makanan Jepun turut dikesan melakukan kesalahan sama apabila tujuh pekerja didapati tidak mendaftar masuk premis dan majikan dikenakan kompaun RM10,000.

Katanya, bukan itu saja, semakan lanjut terhadap kesemua pekerja warga Bangladesh dan Nepal itu mendapati mereka melanggar syarat permit kerja.

"Hasil pemeriksaan permit, mereka sepatutnya bekerja sebagai tukang cuci di kawasan Chow Kit tapi datang bekerja di sini sebagai tukang masak," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit sah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 4:53 PM