Acryl Sani dan isteri bergambar bersama ibu dan adik beradik Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran, di Felda Bukit Damar, Lanchang, hati ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Acryl Sani dan isteri bergambar bersama ibu dan adik beradik Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran, di Felda Bukit Damar, Lanchang, hati ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Temerloh: Semua anggota polis diingatkan sentiasa mematuhi garis panduan penggunaan dan pengendalian senjata api yang ditetapkan bagi menggelakkan kejadian tidak diingini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, senjata api yang dibekalkan kepada mereka hanya dibenarkan diguna pada situasi yang memerlukan dan demi keselamatan.

"Semua anggota polis sama ada yang lama atau yang baru sudah sedia maklum dengan prosedur ketat yang dikenakan berkaitan dengan senjata api,"katanya selepas menziarahi keluarga Allahyarham Konstabel Norhalim Tumiran, 25, di Felda Bukit Damar, Lanchang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dan Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman. .

Mengulas kejadian anggota polis dikatakan bergurau dengan mengacukan pistol kepada rakan sekerja sebelum tertembak, Acryl Sani berkata, penggunaan senjata api ketika kejadian itu berlaku sedang diteliti.

"Ini merupakan pantang larang, Senjata api ini, ia tidak boleh dikeluarkan, ditunjuk-tunjuk, diacu-acukan tanpa sebarang sebab yang munasabah.

"Ia akan sentiasa dalam apa jua keadaan tersimpan di stor senjata atau semasa dibawa keluar disarungkan pada holster sepanjang masa jika tiada keperluan untuk digunakan," katanya.

Katanya, siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti sama ada ia berlaku akibat kemalangan atau kecuaian si pelaku.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat bersimpati dan akan cuba memberi bantuan tertentu buat keluarganya.

"Semoga keluarga arwah diberi kekuatan dan sentiasa memelihara kehidupan mereka dengan baik dan sentiasa bersabar dengan ketentuan yang berlaku kepada orang tersayang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 6:11 PM