GM Klang.
GM Klang.
Ruwaida Md Zain


Klang: Video puluhan pengunjung bersesak-sesak tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk membeli-belah bukan di GM Klang seperti didakwa dan tular di media sosial, semalam.

Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam GM Klang dalam satu kenyataan malam tadi menafikan lokasi dalam video yang tular itu berlaku di pusat pemborong terbabit.

"Pihak pengurusan GM Klang menegaskan gambar dan video terbabit bukanlah diambil di GM Klang seperti diviralkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial semalam berhubung tiada pematuhan SOP di sebuah tempat beli-belah yang penuh dengan orang ramai.

"Bagi mereka yang pernah berkunjung ke GM Klang, sudah pastinya mereka tahu tempat dan keadaan itu bukan di GM Klang.

"Pihak pengurusan memandang serius perkara ini dan sedang mengumpul beberapa maklumat dan bukti mengenai penyebaran berita palsu ini untuk dilaporkan kepada pihak polis dengan kadar segera," katanya dalam satu kenyataan.

Pihaknya juga meminta orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan mana-mana berita sebelum menyebarkannya tanpa memeriksa kesahihan berita berkenaan terlebih dulu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menafikan kejadian itu berlaku di dalam daerah Klang Selatan.

"Pihak GM Klang juga sudah membuat penafian berkaitan perkara ini dalam satu kenyataan melalui Facebook rasmi GM Klang.

"Masyarakat atau mana-mana individu dinasihatkan tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang bentuk berita yang tidak benar sehingga boleh menimbulkan kegusaran dan suasana yang tidak tenteram kepada masyarakat.

"Sekiranya didapati bersalah, individu terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," katanya.

Beliau juga meminta orang awam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33719999 atau di balai polis berhampiran.

Semalam, tular di laman sosial berkaitan satu klip video berdurasi 0.19 saat yang menunjukkan tiada pematuhan SOP di sebuah pusat beli-belah yang dipenuhi dengan pengunjung.

Pada video itu juga terdapat perkataan yang menyatakan situasi berkenaan adalah di Pusat Pemborong GM Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 8:46 AM