Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur tidak bersetuju dengan langkah kerajaan menyenaraikan semua premis atau lokasi yang mempunyai risiko penularan Covid-19 dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bermula semalam bagi mengelak peniaga gulung tikar.

Sistem HIDE yang dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM) bertujuan memberi amaran awal dalam mencegah peningkatan jangkitan Covid-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

Timbalan Yang Dipertua DPMM Kuala Lumpur Datuk Mazrol Nizam Abdullah berkata, penyenaraian lokasi dan premis itu boleh menyebabkan peniaga gulung tikar atau pusat beli-belah berkenaan bertukar menjadi 'gajah putih' berikutan orang ramai takut untuk mengunjungi lokasi tumpuan itu.

"Yang nak takut sangat sampai libatkan orang sampai tak boleh membeli-belah apa hasil kita dapat, ekonomi makin merudum. You nak jadi 'hotspot' ke, nak jadikan apa pun kena kena faham orang cari makan untuk hidup.

"Pendapat saya kenapa nak bagi kod merah atau tutup pusat beli-belah, orang tak boleh meniaga dan macam mana penyewa mahu bayar sewa bulanan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mazrol Nizam berkata, beliau tidak bersetuju dengan langkah itu termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Buat (laksana) PKP, penyewa dan peniaga semua hancur, kita nak raya patut jalan macam biasa dan biar ekonomi naik macam biasa.

"PKP sana PKP sini, tak boleh bergerak sana sini, yang makin teruk ekonomi. Ramai peniaga gulung tikar dan penyewa bermasalah, kena tengok senario betul-betul, tidak boleh buat begitu," katanya.

Katanya, semua peniaga sudah mematuhi semua SOP ditetapkan kerajaan seperti pemakaian pelitup muka, cecair pembasmi kuman tangan, pendaftaran MySejahtera dan diharap kerajaan memahami serta mewujudkan situasi menang-menang buat semua pihak.

"Saya mohon kerajaan ambil kira semua perkara di atas terutama arahan tidak boleh makan di restoran, pastinya akan menyaksikan banyak restoran tutup selepas ini," katanya.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Menteri Penyelaras Program Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, sistem amaran awal mampu mencegah pembentukan kluster Covid-19 baharu sekiranya penyenaraian lokasi yang dikenal pasti diambil tindakan awal oleh pihak berkuasa, pemilik premis dan orang awam.

"Beberapa intervensi awal akan dilakukan penghantaran notifikasi kontak kasual menerusi aplikasi MySejahtera, kawalan pergerakan pengunjung atau pelawat dengan lebih ketat dan menghalang kemasukan mereka yang berstatus berisiko tinggi seperti yang terpapar di aplikasi MySejahtera," katanya.

Biarpun pendedahan lokasi itu dibantah DPMM, rata-rata masyarakat ketika ditemui wartawan memberi reaksi sebaliknya dengan menyatakan sokongan terhadap langkah berkenaan.

Masyarakat menyifatkan langkah itu membolehkan mereka mengelak kawasan tumpuan yang disyaki menjadi lokasi penularan pandemik maut itu.

Bagi penuntut universiti swasta, Karina Hakim, 23, dia bersetuju dengan penyenaraian lokasi atau premis supaya tidak menjadi sebahagian daripada statistik KKM.

"Sebaik kerajaan mengeluarkan senarai lokasi panas berkenaan, pastinya kita akan cuba mengelak sementara waktu daripada mengunjungi tempat berkenaan.

"Kita cuba menjaga diri sendiri dan jangan terlampau berharap dengan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 6:05 PM