SUASANA orang ramai yang membeli belah bagi persiapan sambutan Aidilfitri di pusat beli-belah ketika tinjauan kepatuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0). FOTO Asyraf Hamzah
SUASANA orang ramai yang membeli belah bagi persiapan sambutan Aidilfitri di pusat beli-belah ketika tinjauan kepatuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0). FOTO Asyraf Hamzah
Hajar Umira Md Zaki
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biarpun sambutan Aidilfitri berbaki hanya empat hari lagi, pusat beli belah sekitar ibu kota yang sebelumnya menjadi tumpuan ramai untuk membuat persiapan menyambut hari raya dilihat lengang.

Tinjauan dilakukan wartawan Harian Metro sekitar jam 12 tengah hari tadi mendapati, beberapa pusat beli belah di ibu kota 'sunyi' daripada orang ramai biarpun hari ini adalah hari minggu.

Pengunjung dilihat sesekali masuk ke pusat beli belah itu dan rata-rata mereka didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan termasuk mendaftar masuk ke premis dan penjarakan fizikal.

Pengunjung pusat beli-belah, Nurazilawati Muhamad, 55, berkata, pemerhatiannya mendapati premis tumpuan ramai itu lengang dan tidak ramai berbanding kebiasaannya ketika musim perayaan.

"Sekarang ini memang nampak kurang kerana hanya pengunjung dari Kuala Lumpur sahaja yang datang. Bagi saya, pelaksanaan SOP di sini amat bagus dan orang ramai turut dilihat mematuhi arahan ditetapkan,

"Saya sendiri menunggu giliran untuk masuk dan agak takut jika melihat ramai orang datang untuk membeli belah di sini," katanya, ketika ditemui.

Bekas kakitangan awam, Norzain Zainal, 68, berkata, dia berpuas hati dengan penjarakan fizikal dilakukan semua pengunjung berdasarkan pemerhatiannya selama dua jam berada di pusat beli-belah itu.

"Bagi saya tiada masalah dan pengunjung masih mematuhi SOP malah di sini (pusat beli belah) mereka membuat peringatan (pengumuman) kepada pengunjung untuk menjaga jarak," katanya.

Pematuhan SOP ditetapkan kerajaan dalam kalangan pengunjung itu turut diakui Zulkarnain Azman, 24, yang turut membeli belah di premis berkenaan.

Tinjauan seterusnya di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) yang menjadi vanue wajib dikunjungi orang ramai untuk membuat persiapan sempena hari raya juga dilihat lenggang namun rata-rata pengunjung yang datang ke kawasan berkenaan dilihat mematuhi SOP ditetapkan.

Peniaga pakaian, Muhammad Azraai, 30, berkata, dia turut berpuas hati dengan pengawalan serta pematuhan SOP oleh pengunjung yang datang membeli di kedainya.

"Di kedai ini, saya mengawal kemasukan pengunjung dan hanya membenarkan kurang dari empat individu pada satu masa," katanya, kepada Harian Metro.

Sementara itu, pemandu e-hailing, Romy Irwan Shah, 40, ketika ditemui wartawan berkata, dia malah ramai pemandu dilihat patuh kepada SOP ketika membawa penumpang.

"Sebelum penumpang masuk (kereta) saya minta mereka mendaftar MySejahtera terlebih dahulu dan sentiasa memakai topeng muka," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, selain itu dia turut menyediakan cecair nyah kuman buat penumpang yang menggunakan perkhidmatannya itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 5:40 PM