GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Gua Musang: Sejumlah 26 kes kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan dengan haiwan ternakan khususnya lembu yang berkeliaran direkodkan di daerah ini sejak Januari hingga April lalu, kata Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo.

Beliau berkata bagi mengelakkan kejadian itu, polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan operasi menangkap ternakan yang dibiarkan berkeliaran di sekitar daerah ini dalam tempoh terdekat.

"Perkara ini bukan masalah baharu dihadapi pengguna jalan raya, PBT juga sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan mengingatkan penternak supaya tambat haiwan mereka dan tidak biarkan sehingga berkeliaran di jalan raya.

"Sikap penternak mengabaikan tanggungjawab mengawal lembu yang dilepaskan hingga berkeliaran boleh menyebabkan kemalangan termasuk pada musim perayaan," katanya di sini hari ini.

Sik berkata haiwan yang berjaya ditangkap dalam operasi itu nanti akan diserahkan kepada PBT manakala penternak yang ingin menebus semula lembu terbabit perlu membayar kompaun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 4:57 PM