MUHAMMAD Shafiq tidak menyangka video tugasnya menangkap ular menjadi tular dan menarik minat penonton dalam kalangan remaja bagi menyertai pasukan penyelamat itu. FOTO Zuhainy Zulkiffli
MUHAMMAD Shafiq tidak menyangka video tugasnya menangkap ular menjadi tular dan menarik minat penonton dalam kalangan remaja bagi menyertai pasukan penyelamat itu. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Perkembangan media sosial dijadikan platform oleh seorang anggota bomba bagi memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai bidang tugas pasukan penyelamat itu.

Walaupun anggota bomba sering dikaitkan dengan tugas pemadaman kebakaran, terdapat pelbagai tugasan lain turut dilakukan.

Begitu dilakukan Muhammad Shafiq Mohamad, 23, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lebuh Pantai, di sini, bagi mengangkat nama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Muhammad Shafiq yang berasal dari Gurun, Kedah, berkata inisiatif itu mula dilakukan sebaik menyertai pasukan bomba sejak tiga tahun lalu.

Katanya, sebelum itu dia mula dikenali di Instagram apabila videonya menyanyikan lagu Pendam yang dipopularkan Azzara Band, tular di media sosial.

"Pada mulanya saya memuatkan video tugas menangkap ular di sebuah premis di sini, dan tidak sangka ia meraih 2.7 juta tanda suka, malah ada yang tidak tahu bahawa tugas anggota bomba membabitkan pelbagai bidang.

"Kebanyakan yang menonton video itu terdiri daripada pelajar dan remaja sekali gus ia mampu menyuntik minat dalam kalangan mereka bagi menyertai pasukan bomba, itulah matlamat saya," katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, dia yang juga anggota pasukan khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) yang melakukan tugas mencabar termasuk menangkap haiwan berbisa seperti ular.

Katanya, latihan membabitkan tangkapan ular berbisa itu sentiasa mendapat perhatian kerana memerlukan keberanian dan tahu cara menangkapnya.

"Ramai yang memberi kata positif kepada pasukan bomba selain mendoakan keselamatan pasukan penyelamat.

"Antara yang tidak dapat dilupakan ialah pengalaman pertama kali mengangkat mayat yang tidak sempurna dalam kejadian tanah runtuh di sini, dua tahun lalu.

"Semasa kecil saya bercita-cita mahu menjadi 'adiwira' dan berikutan kerjaya ini membantu dan menyelamat, saya anggap impian itu sudah tercapai," kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Sementara itu, Ketua BBP Jalan Lebuh Pantai Muzzamer Mohd Salleh berkata, tidak menjadi kesalahan kepada anggota bomba sekiranya mahu merakam video melakukan tugas menyelamat.

"Jika video yang diambil itu adalah sesuatu yang positif, tidak menjadi masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 4:27 PM