JENAZAH Norhalim dijangka tiba dia Pangkalan TUDM Subang jam 8 malam ini. FOTO IHSAN PEMBACA
JENAZAH Norhalim dijangka tiba dia Pangkalan TUDM Subang jam 8 malam ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jenazah Konstabel Norhalim Tumiran, anggota polis yang maut tertembak di Sibu, Khamis lalu diterbangkan ke Semenanjung, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, jenazah mangsa dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang jam 8 malam ini.

Beliau berkata, jenazah kemudian akan dibawa dengan kenderaan polis ke kampung halamannya di Felda Bukit Damar, Lanchang, Pahang.

"Jenazah akan dibawa balik hari ini dengan penerbangan ihsan TUDM," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Norhalim, 24, ditemukan meninggal dunia dengan kesan tembakan di kepalanya di sebuah rumah sewa di Lorong Permai Timur 9A, Sibu, kira-kira jam 7 malam, Khamis lalu.

Berdasarkan siasatan awal, Allahyarham yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dan tinggal di rumah transit di IPD Sibu, datang ke rumah sewa rakan setugasnya itu untuk berbuka puasa.

Bagaimanapun, seorang rakan dikatakan bergurau dengan mengacukan pistol sebelum tertarik picu dan tertembak kepalanya.

Allahyarham yang baru sebulan setengah ditugaskan di Sibu selepas menamatkan latihan asas konstabel polis, meninggalkan seorang isteri dan seorang anak berusia setahun.

Susulan kejadian itu, tiga anggota polis berusia 21,23 dan 27 tahun ditahan reman hingga 14 Mei ini bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 3:11 PM