Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kerajaan Negeri Kelantan memutuskan untuk menguatkuasakan penutupan gerai atau penjaja tepi jalan, penjaja beredar dan seumpamanya bermula esok.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan itu susulan kes Covid-19 di Kelantan semakin meningkat dan tidak menunjukkan penurunan.

Katanya, memandangkan keadaan penuh risiko, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Kelantan terpaksa mencari pendekatan segera untuk mengelakkan orang ramai berkumpul di satu-satu tempat yang menjadi penyebab utama virus Covid-19 merebak.

"Antara aktiviti yang dikenal pasti menarik orang ramai berkumpul pada masa ini adalah gerai atau penjaja tepi jalan dan penjaja beredar yang dilihat tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Demi menjaga kelangsungan kesihatan masyarakat dan sebagai salah satu usaha untuk mengekang jangkitan Covid-19, dengan ini dimaklumkan bahawa pihak berkuasa tempatan akan mengambil langkah menguatkuasakan penutupan gerai atau penjaja tepi jalan, penjaja beredar dan seumpamanya bermula 27 Ramadan 1442H bersamaan 9 Mei.

"Peniaga dan masyarakat diminta mematuhi arahan ini bagi mengelakkan tindakan diambil di bawah peraturan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa," katanya hari ini.

Gerai tepi jalan di Kelantan akan mula ditutup berkuat kuasa bermula esok susulan kes Covid-19 di negeri Kelantan yang meningkat naik. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
Gerai tepi jalan di Kelantan akan mula ditutup berkuat kuasa bermula esok susulan kes Covid-19 di negeri Kelantan yang meningkat naik. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Mengulas lanjut kenyataan itu memaklumkan, peningkatan kes Covid-19 menyebabkan kemudahan kesihatan di negeri itu tidak mencukupi dan kritikal.

Menurutnya, katil di hospital Covid-19, hospital hibrid dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid -19 (PKRC) berisiko rendah juga hampir penuh, malah ada yang sudah melebihi seratus peratus.

"Hampir setiap hari wujudnya kluster baharu sama ada dalam komuniti atau tempat kerja sehinggakan tiga kampung di Bunut Susu, Pasir Mas iaitu Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari yang bermula esok.

"Kadar kematian akibat Covid-19 di Kelantan juga semakin meningkat sehingga pada masa ini sudah melebihi bilangan 50 orang dengan purata kematian lebih kurang empat orang sehari.

"Pada masa yang sama, mereka yang menjalani kuarantin di rumah dan di bawah pengawasan masing-masing melebihi jumlah 2,000 orang dan 4,000 orang dengan jumlah kes keseluruhan di Kelantan melebihi 16,000 orang," katanya.

Menurutnya, jumlah itu dikhuatiri akan semakin bertambah dari sehari ke sehari sekiranya langkah-langkah yang lebih drastik tidak diberikan perhatian utama memandangkan kadar kebolehjangkitan di Kelantan masih lagi tinggi.

"Bersama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT segera mengangkat ujian pandemik Covid-19 ini dari terus meningkat di Kelantan khususnya dan Malaysia amnya supaya kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 2:44 PM