FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tempoh hampir setahun pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sudah cukup untuk dijadikan pengalaman buat guru, ibu bapa dan pelajar.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, sama ada bersedia atau tidak, PdPR adalah alternatif terbaik ketika ini demi kepentingan kesihatan.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengatur proses pelaksanaannya bagi memastikan ia tersusun dan menyeluruh di semua peringkat.

"Kita sedar pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka lebih berkesan, namun kita tidak pasti bila penularan Covid-19 ini akan bernoktah. Maka PdPR perlu diintegrasikan sebaiknya.

"Saya cadangkan KPM mewujudkan pusat sehenti PdPR di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menilai permasalahan dan kelemahan agar pelaksanaan PdPR lebih efisien," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas lanjut, Dr Mohamad Ali berkata, kerjasama dan komitmen ibu bapa serta pihak swasta diperlukan khususnya berkaitan persediaan kelengkapan pembelajaran seperti alat peranti begitu juga liputan internet yang lebih stabil.

Beliau berkata, ibu bapa perlu proaktif dan menyusun komunikasi yang baik bersama pusat PdPR supaya anak-anak dapat menjalani PdPR secara berterusan.

"Pemimpin setempat dan pihak swasta juga perlu mengambil inisiatif sewajarnya dalam memastikan keberkesanan PdPR di kawasan masing-masing. Pembabitan pihak swasta atau syarikat korporat dapat membantu keperluan di kalangan keluarga kurang berkemampuan dan kawasan pedalaman," katanya.

Katanya, pendekatan PdPR boleh diperkukuhkan dengan komitmen semua pihak.

Terdahulu, Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, sesi PdPR akan dilaksanakan selama dua minggu persekolahan selepas cuti Aidilfitri.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah ketika musim perayaan dan bakal meningkatkan jangkitan di institusi pendidikan bawah KPM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 1:35 PM