GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

Kuala Berang: Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima laporan taktik penipuan peniaga yang menjual ayam standard melebihi kadar ditetapkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2021.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya dimaklumkan ada peniaga menaikkan harga dengan mendakwa memperoleh kebenaran daripada KPDNHEP.

"Kita ada menerima laporan taktik penipuan dilakukan peniaga yang menjual ayam standard pada harga RM8.70 sekilogram, sedangkan harga maksimum ditetapkan hanya RM7.90 sekilogram.

"Kita dimaklumkan peniaga mendakwa sudah mendapat kebenaran dan kelulusan KPDNHEP, sedangan ia tidak berlaku," katanya yang ditemui selepas melakukan pemantauan harga di bazar Ramadan Kuala Berang di sini, hari ini.

Terdahulu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu turut mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya. Majlis turut dihadiri Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Menurutnya lagi, pihaknya melakukan siasatan susulan aduan itu namun, sukar membuktikannya susulan tindakan licik peniaga yang menjual barang kawalan itu pada harga sepatutnya apabila diperiksa penguat kuasa.

Untuk itu, katanya, penguat kuasa akan melakukan penyamaran ketika melakukan tinjauan harga bagi mengelak kejadian berulang.

Katanya, peniaga yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Setakat ini lapan kes dikenakan tindakan kerana kesalahan harga, membabitkan pemborong dan peruncit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 10:24 PM