GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Siasatan kes majlis tahnik anak penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang dikemas kini sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk berkata, pihaknya sudah merakam keterangan semua individu yang terbabit pada majlis itu yang diadakan 26 April lalu.

"Setakat ini 15 individu sudah dirakam keterangan antaranya penganjur, orang kenamaan dan penceramah. Siasatan kes sedang dikemas kini sebelum dirujuk kepada TPR untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Majlis tahnik anak kedua Siti Nurhaliza disiasat susulan laporan penganjurannya yang didakwa melanggar SOP PKPB selain dihadiri tetamu dan penceramah yang berasal dari luar Selangor.

Antara tetamu hadir termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri selain Ustaz Azhar Idrus yang menetap di Terengganu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 5:35 PM