GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang lans koperal polis dikatakan sempat bersahur dengan keluarganya, sebelum ditemui meninggal dunia di ruang tamu rumah di Taman Pertama, Sandakan hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, anggota berusia 28 tahun itu ditemui isterinya pada 7.30 pagi.

Katanya, arwah yang berkhidmat sebagai anggota Pasukan Polis Marin (PPM) di Sandakan didapati mempunyai rekod kerja yang baik dan tidak mempunyai masalah dengan rakan sekerja termasuk pegawai atasan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian anggota itu

"Difahamkan, anggota terbabit menyambut hari lahir anaknya yang berusia tiga tahun malam tadi (semalam) dan bersahur," katanya ketika ditemui, hari ini.

Hazani berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Duchess Of Kent untuk dibedah siasat dan tindakan lanjut.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 4:21 PM