GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Sibu: Mahkamah Majistret, di sini hari ini membenarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap tiga anggota polis bagi membantu siasatan konstabel mati tertembak di rumah di Taman Permai, semalam.

Permohonan reman sehingga 14 Mei ini terhadap tiga anggota berusia 21, 23 dan 27 tahun terbabit diluluskan oleh Majistrest Mohd Syukri Mokhtar.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam, mangsa Konstabel Norhalim Tumiran, 25, ditemui dengan kesan tembakan di kepala dan masih duduk di sofa di rumah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi berkata, penghantaran balik jenazah mangsa ke kampungnya di Pahang sedang diuruskan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

"Belum tahu lagi. Tunggu swab test dan post mortem. Tunggu patologis dari Kuching," katanya ringkas melalui aplikasi Whatsapp.

Difahamkan, mangsa baru sebulan setengah bertugas di Sibu sebaik tamat latihan asas polis dan kejadian itu dipercayai berlaku apabila seorang rakannya bergurau dengan mengacukan pistol ke arahnya sebelum tertekan picu.

Ketika kejadian, mangsa yang tinggal di rumah transit di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu dikatakan datang ke rumah sewa rakannya itu untuk bermain permainan komputer sementara menunggu waktu berbuka puasa.

Mangsa yang bertugas di Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPD Sibu sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia setahun.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 3:51 PM