Dr Afifi dan Ustaz Don ketika di Bicara Khas Ramadan dalam Program Iftar Mahabbah Ramadan UniKL RCMP 1442H/2021 di Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) di sini, hari ini. Foto Sharul Hafis Zam
Dr Afifi dan Ustaz Don ketika di Bicara Khas Ramadan dalam Program Iftar Mahabbah Ramadan UniKL RCMP 1442H/2021 di Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) di sini, hari ini. Foto Sharul Hafis Zam
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Hukum mengenai keharusan mengambil imunisasi vaksin Covid-19 dianggap mencapai taraf ijmak atau kesepakatan ulama mujtahid sedunia selain pembangunannya turut dianggap sebagai perkara fardu kifayah.

Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom (UK) Datuk Dr Afifi al-Akiti berkata demikian sebagai mengulas saranan pihak tertentu khususnya golongan anti vaksin yang dilihat kerap melontarkan persepsi buruk mengenai pengambilan imunisasi terbabit selain turut menyandarkan dakwaan mereka kepada tokoh tertentu.

"Ulama dari serata dunia Islam termasuk ulama Al-Azhar, Jeddah (Arab Saudi) boleh dikatakan sudah sepakat, ijmak mengenai keharusan hukum mengambil vaksin. Boleh dikatakan hukum mengambil vaksin ini fardu kifayah seperti mana solat jenazah.

"Gesaan supaya masyarakat tidak mengambil vaksin, umpama menyekat orang lain daripada mendirikan solat. Jika tidak mahu ambil vaksin, jangan pula gesa orang lain mengelak mengambilnya," katanya dalam Bicara Khas Ramadan bertajuk 'Dugaan Covid-19 dan Vaksinasi Menurut Islam' menerusi sidang video dalam Program Iftar Mahabbah Ramadan UniKL RCMP 1442H/2021 yang disiarkan secara langsung di Facebook Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) di sini, hari ini.

Bual bicara itu turut menampilkan pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai ahli panel, di samping majlis turut hadir Orang Besar Jajahan Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan dan Ketua Eksekutif merangkap Ketua Kampus UniKL RCMP, Hisshamuddin Omar.

Ijmak didefinisikan sebagai kesepakatan para ulama mujtahid dalam menetapkan suatu hukum berasaskan Al-Quran dan Hadis mengenai suatu perkara yang terjadi selepas zaman Rasulullah SAW, manakala fardu kifayah bererti perkara yang wajib dilakukan sebahagian anggota masyarakat untuk menjaga kepentingan ummah.

Dr Afifi yang juga Pengerusi UniKL RCMP berkata, masyarakat juga perlu sedar mengenai bahaya dan dosa apabila menyampaikan sesuatu maklumat khususnya berkaitan keburukan vaksinasi tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihannya.

Beliau berkata, Rasulullah SAW pernah memberi peringatan keras bahawa seseorang sudah dianggap sebagai penipu dan pendusta walaupun sekiranya dia hanya menyampaikan apa sahaja yang didengarnya tanpa memeriksa kebenaran dan kesahihan perkara itu.

"Zaman media sosial sekarang menyaksikan ramai manusia lebih suka 'forward' (memanjangkan) mesej yang mereka terima umpamanya melalui kumpulan WhatsApp tanpa mereka tahu kebenaran maklumat pada mesej itu. Perbuatan itu umpama kita sedang menyemai 'saham' dosa kita," katanya.

Katanya lagi, masyarakat juga digesa tidak terpengaruh dengan seruan segelintir ilmu agama yang mendakwa penjarakan fizikal satu meter dalam saf solat berjemaah bercanggah dengan tuntutan agama yang pada asalnya menggesa supaya saf antara jemaah dirapatkan.

Beliau berkata, tidak seharusnya timbul isu mengikuti 'Sunnah WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang wabak Covid-19 memandangkan Allah dan Rasulullah SAW turut pernah menggariskan panduan dalam pencegahan wabak.

"Saya ingin memperingatkan kepada ustaz dan imam kita bahawa Islam dan sains sepatutnya seiringan. Dalam satu riwayat oleh Abu Yaala dan Musnad Ahmad, Rasulullah SAW mengajarkan supaya kita menjarakkan diri sejauh satu panjang tombak ketika bermuamalat dengan seseorang yang berpenyakit.

"Begitu juga dengan hukum solat dalam keadaan duduk dan baring yang umum sedia diketahui. Allah SWT tetap menerima solat dalam keadaan itu yang bergantung kepada situasi dan kondisi kesihatan individu yang melakukannya, apatah lagi merapatkan saf bukanlah suatu kewajipan," katanya.

Sementara itu, Hisshamuddin berkata, Program Iftar Mahabbah Ramadan UniKL RCMP 1442H / 2021 merupakan kemuncak kepada pelbagai aktiviti pengumpulan dana yang dirangka Bahagian Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup Kampus universiti itu bagi disumbang kepada masyarakat sekitar daerah ini.

Menurutnya, program berbuka puasa itu turut menyaksikan penyerahan sumbangan Aidilfitri berupa duit raya kepada 89 anak yatim dari tiga institusi iaitu Yayasan An-Nur Maisarah, Chemor; Pertubuhan Baitulaini, Kuala Pari; dan Rumah Anak Yatim Al-Harraz, Simpang Pulai membabitkan jumlah RM22,250.

"Sebahagian daripada jumlah RM22,250 yang berjaya dikumpul itu akan turut diagihkan dalam bentuk duit raya kepada petugas am UniKL RCMP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 9:18 PM