Anggota bomba melakukan sanitasi di sekitar Sekolah Rendah Agama Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang bagi membendung penularan Covid-19 hari ini. Foto Faiz Anuar
Anggota bomba melakukan sanitasi di sekitar Sekolah Rendah Agama Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang bagi membendung penularan Covid-19 hari ini. Foto Faiz Anuar
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sebanyak 22,784 operasi sanitasi untuk pencegahan Covid-19 yang merangkumi 156 zon sudah dilakukan seluruh negara sejak 30 Mac tahun lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi sanitasi membabitkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan.

"Semalam, sebanyak 84 operasi sanitasi dilakukan meliputi 32 zon merah, zon jingga (4), zon kuning (10) dan zon hijau (1) di seluruh negara.

"Operasi sanitasi semalam membabitkan 478 anggota dan 84 jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 30 pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengenai kuarantin wajib, katanya, seramai 758 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara semalam.

Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai tahun lalu, menurutnya, seramai 196,699 individu pulang ke tanah air.

"Semua ditempatkan di stesen kuarantin iaitu di 74 hotel dan sembilan Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 8,416 individu sudah dikuarantin dan 186,455 orang dibenarkan pulang, manakala 1,828 lagi dibawa ke hospital," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 7:11 PM