Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar, Kota Tinggi di Johor bermula 8 Mei sehingga 21 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh satu minggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

Menurutnya, KKM sudah melakukan 212 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 96 orang daripadanya didapati positif Covid-19.

"KKM hari ini melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di SSTMI Bandar Penawar dan selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti itu," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Selain itu, katanya, PKPD turut dilaksanakan di 16 lokaliti di Sungai Ruan dan tujuh lokaliti di Sempalit, Raub, Pahang.

Menurutnya, 16 lokaliti Sungai Ruan yang dilaksanakan PKPD ialah Taman Dahlia, Taman KSM Sungai Ruan, Taman Bunga Raya, Taman Sungai Ruan, Taman Cempaka, Taman Bunga Matahari, Taman Koperasi Mewah, Taman Melewar, Taman Mawar, Taman Mawar Impian, Taman Bunga Tanjung, Taman Bunga Angsana, Taman Melor, Taman Orkid, Rumah Murah Sungai Ruan dan Kampung Baru Sungai Ruan.

"Tujuh lokaliti dikenakan PKPD di Sempalit pula ialah Kampung Baru Sempalit, Taman Sempalit Indah, Taman Sempalit Baru, Taman Sempalit Aman, Taman Sempalit Jaya, Taman Emas dan Taman Emas Baru

"Pelaksanaan PKPD itu adalah bagi memudahkan KKM membuat pengesanan awal terhadap kontak rapat dan penduduk yang terbabit sekali gus untuk mengelakkan penularan Covid-19 ke komuniti luar," katanya.

Menurutnya, KKM mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh dua minggu yang membabitkan dua lokaliti berkenaan dengan 65 kes positif Covid-19 direkodkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 6:36 PM