GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Cuba seludup pendatang asing tanpa izin menggunakan 'teksi' dipandunya. Itu tindakan seorang pemandu kenderaan e-hailing yang ditahan polis dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di Ladang Gaddes di sini.

Dalam kejadian jam 10.30 malam tadi, pemandu e-hailing itu dikesan menyeludup seorang lelaki warga Indonesia yang dibawanya dari Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata pemandu Grab berkenaan dipercayai mahu menghantar pendatang haram itu ke Bukit Ibam, Pahang.

Katanya, sebaik tiba di SJR berkenaan, anggota polis bertugas membuat pemeriksaan sebelum pemandu e-hailling berusia 44 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan rentas negeri.

"Pemeriksaan ke atas warga asing itu pula mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri milik suspek.

"Polis kemudian menahan kedua -dua mereka selepas didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021," katanya.

Chang Hook berkata, polis merampas kereta dan tiga telefon bimbit dari kedua-dua lelaki itu manakala semakan mendapati pemandu kereta itu mempunyai satu rekod jenayah dadah.

Katanya, pemandu kereta itu direman selama empat hari manakala pendatang asing itu ditahan selama dua minggu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyelupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963dan Peraturan 4(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) (Kawalan Pergerakan ) 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 5:33 PM