PASUKAN perubatan tentera dihantar ke Kapit bagi mengendalikan hospital medan di bandar itu. FOTO ihsan SEL PERHUBUNGAN RAYA 1 DIVISYEN
PASUKAN perubatan tentera dihantar ke Kapit bagi mengendalikan hospital medan di bandar itu. FOTO ihsan SEL PERHUBUNGAN RAYA 1 DIVISYEN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tentera Darat Malaysia (TDM) menghantar anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) untuk mengendalikan hospital medan di Kapit, hari ini.

Pasukan berkenaan yang terdiri daripada tiga pegawai perubatan, seorang pegawai tugas am dan 35 anggota iaitu paramedik, kuartermaster dan pemandu diatur gerak ke Sibu dengan pesawat C-130 Hercules, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pada jam 2.55 petang.

Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, pasukan itu akan meneruskan perjalanan ke Kapit menaiki tujuh trak tiga tan, esok.

Beliau berkata, sebelum ini satu tim peninjau dari 9 Briged Infantri sudah diatur gerak ke bandar pentadbiran kawasan hulu Rejang itu sejak Selasa lalu bagi meninjau lokasi untuk mendirikan hospital medan selain menilai keperluan lojistik yang lain.

"Hasil tinjauan itu mendapati hospital medan berkenaan sesuai didirikan di Dewan Masyarakat Melayu Kapit yang terletak kira-kira lima kilometer dari Hospital Kapit.

"Pasukan yang kita gerakkan hari ini turut membawa bersama peralatan perubatan seperti katil, troli perubatan, set komputer, peralatan x-ray, khemah, oksigen dan penghawa dingin mudah alih serta kelengkapan lain bagi memenuhi keperluan hospital medan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kem Muara Tuang, di sini, hari ini.

Dzulkafli berkata, hospital medan itu akan dilengkapi 24 katil dan bertanggungjawab mengendalikan pesakit yang bukan menerima rawatan Covid-19.

"Apabila hospital medan itu sudah beroperasi, Hospital Kapit akan mengendalikan sepenuhnya kes Covid-19 manakala pesakit lain yang menerima rawatan lain akan dikendalikan oleh pasukan perubatan tentera.

"Saya jangka, hospital medan itu akan beroperasi sepenuhnya sehingga bulan Ogos nanti bagi menampung keperluan rawatan dan perubatan penduduk di kawasan Kapit berikutan kapasiti terhad di Hospital Kapit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 5:12 PM