GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar lebih praktikal dan bersesuaian dengan situasi semasa dialami negara ketika ini.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata, penutupan keseluruhan sektor hanya akan memburukkan keadaan dan menjejaskan lagi ekonomi negara.

"Jika kita ambil langkah sama seperti PKP 1.0 tahun lalu, bukan hanya jumlah kerugian negara semakin meningkat, malah kemungkinan besar ramai pekerja diberhentikan dan banyak syarikat tutup dan memerlukan subsidi daripada kerajaan jika ingin terus bertahan.

"Jadi, PKP bersasar kali ini lebih tepat kerana hanya dilaksanakan di kawasan 'hotspot' penularan dan jumlah kes tinggi saja.

"Kita berharap perkara ini terus dilakukan dengan teliti dan seimbang supaya keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin serta pada masa sama memastikan ekonomi terus berjalan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor pula berpandangan, langkah kerajaan melaksanakan PKP 3.0 di sesetengah negeri disifatkan sebagai tindakan terburu-buru tanpa berbincang dengan pemain industri terbabit.

"Sebenarnya MTUC masih gusar pelaksanaan PKP pertama, kedua dan ketiga kali ini kerana kita melihat tiada perubahan atau kebaikan yang menunjukkan satu formula berkesan dalam memerangi atau mengurangkan Covid-19.

"Kita melihat ketegasan kerajaan hanya berlaku apabila jumlah kes melonjak pada satu angka yang mereka rasakan tidak selamat atau tidak benarkan orang balik kampung.

"Ini menjadikan pelaksanaan PKP itu tidak bersesuaian dan tidak serius serta paling teruk sekali apabila PKP kali ini diwartakan tergesa-gesa tanpa rundingan dengan badan seperti pekerja atau majikan," katanya.

Abdul Halim mendesak kerajaan membuat keputusan memberangsangkan melalui semua kaedah termasuk tindakan dan penguatkuasaan mengikut perundangan sedia ada.

"Kerajaan seharusnya menggunakan semua akta sedia ada untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat, misalnya dengan mengeluarkan arahan semua industri termasuk pejabat menyediakan pengangkutan khas sendiri untuk mengangkut pekerja mereka bagi mengurangkan kontak dengan orang ramai.

"Malah, kita mohon kerajaan mengetatkan lagi penguatkuasaan terhadap penempatan pekerja yang kita lihat sekarang semakin longgar dan mendatangkan risiko penularan, selain kuat kuasa pendaftaran pekerja di semua industri seluruh negara bagi memastikan tiada siapa culas melakukan saringan," katanya.

Menurutnya, jika tiada penyelesaian lain kerajaan juga boleh berunding dengan negara asal pekerja asing untuk proses penghantaran pulang bagi menjimatkan kos saringan dan vaksin ditanggung negara.

"MTUC khuatir bila bercakap pasal vaksin tetapi kita tidak saring seramai mungkin pekerja atau rakyat yang ada dalam negara. Sudah tentu ini juga akan memperlahankan usaha memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 4:48 PM